fbpx

Mahkamah: Gulam Rusol lepas, bebas tuntutan palsu lebih RM1.2 juta pada MOA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gulam Rusol (dua dari kanan) dan Kamaruzzaman (dua dari kiri) selepas prosiding kes hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah syarikat dan bekas ketua pegawai kewangan dilepas dan dibebaskan berhubung tuntutan palsu lebih RM1.2 juta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), sembilan tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap tertuduh Gulam Rusol Md Ismail, 60, dan Kamaruzzaman Kamaludeen, 50, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Rozina berkata, berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, eksibit yang dikemukakan dan membaca serta mendengar hujahan, mahkamah mendapati terdapat kecacatan pada pertuduhan berkenaan.

Menurutnya, pasukan pendakwaan gagal menyatakan secara lengkap butiran palsu yang didakwa telah memperdayakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Mengikut pertuduhan, Gulam Rusol sebagai presiden dan pengarah Syarikat Natureceuticals didakwa mengemukakan permohonan bagi tuntutan bayaran balik pembelian ‘stickpack machine’ berjumlah RM1.25 juta kepada seorang individu di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan niat memperdayakan ejen itu.

Dokumen tersebut didakwa mengandungi butiran palsu iaitu salinan invois Nothern Petrochem Sdn Bhd, salinan pesanan pembelian Natureceuticals Sdn Bhd, dua salinan masing-masing baucar pembayaran dan cek Maybank, sedangkan pembelian mesin itu tidak pernah dibekalkan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pembangunan Herba, di kementerian itu, di Aras 2, Bangunan Galeri PjH, Lot 29, Jalan P4W, Presint 4, Persiaran Perdana, Putrajaya, pada 16 Disember 2014.

Sementara itu, pegawai kewangan Kamaruzzaman, 50, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Gulam Rusol berhubung perkara sama di tempat dan masa serupa.

Justeru kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM), yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah dipalsu atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi dan Natrah Fareha Rahmat.

Pembelaan untuk Gulam Rusol pula oleh peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin sementara peguam, Muhammad Irzan Iswatt Mohd Noor bagi pihak Kamaruzzaman.

Seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding kes bermula 28 Januari 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI