BANGKOK – Kerajaan Thailand membenarkan semula penganjuran aktiviti sabung ayam dan pelbagai pertarungan haiwan lain serta pertaruhan di bawah syarat-syarat yang ketat, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Suttipong Junjaroen secara rasmi mengumumkan bahawa pertandingan sabung ayam, lumba kuda, laga ikan laga Siam serta laga dan lumba lembu boleh disambung semula setelah pandemik Covid-19 reda.
Pertaruhan akan dibenarkan di bawah syarat ketat selagi pusat penganjuran mendapat permit dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kementerian.
Aktiviti-aktiviti itu akan dipromosikan sebagai satu bentuk ‘daya penarik’ di Thailand untuk meningkatkan kemasukan pelancong asing. Pertaruhan pula dijangka dapat memberi manfaat kepada ekonomi negara, demikian menurut Kementerian Kehakiman.
Sebagai contoh, aktiviti sabung ayam dan laga ikan laga Siam hanya dibenarkan pada hujung minggu dan tidak boleh diadakan pada hari Buddha.
Aktiviti pertarungan pula mesti dijalankan dengan mengambil kira kebajikan haiwan-haiwan terlibat. Kekerapan pertaruhan pula akan dihadkan, bergantung kepada pihak berkuasa wilayah manakala peserta bawah umur tidak dibenarkan terlibat.
Walaupun aktiviti sabung ayam diharamkan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Britain, Russia, Kanada, Australia, Belgium, Brazil, Costa Rica, Jerman dan India, Kementerian Kehakiman Thailand merancang untuk memprosmosikan pertarungan haiwan sebagai medium tarikan pelancongan.
Menteri Kehakiman, Somsak Thepsuthin berkata, pertarungan haiwan adalah sebahagian daripada tradisi Thailand dan berpotensi dianggap sebagai ‘daya penarik’.
Somsak turut menggalakkan jabatan berkaitan untuk berkongsi idea dan pendapat bagi menjadikan pertaruhan haiwan lebih sistematik dan bertaraf antarabangsa dengan matlamat untuk menarik pelancong asing dan bukan sahaja warga Thailand ke acara tersebut.
Selain itu, haiwan yang bertarung hendaklah dibekalkan dengan peralatan perlindungan untuk mengurangkan risiko kecederaan.
Bagi aktiviti sabung ayam, syarat sukan telah diubah suai dengan taji logam dan pertempuran bermati-matian diharamkan.
“Pertaruhan juga perlu dijalankan dengan sistematik selain menggunakan platform dalam talian untuk mengutip cukai,” kata Somsak.
Menurut beliau, perjudian sabung ayam merupakan sumber pendapatan yang berpotensi besar untuk rakyat Thailand khususnya golongan petani.
Aktiviti sabung ayam mungkin membingungkan aktivis haiwan tetapi ayam sabung merupakan perniagaan yang menguntungkan di Thailand apabila ia dijual dengan harga ratusan ribu baht. – Agensi