ALOR SETAR – Sebuah syarikat pengendali pakej umrah didenda sebanyak RM80,300 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana gagal mematuhi 26 award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dalam tempoh 14 hari, tiga tahun lalu.
Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Massnizam Group Travel and Tours Sdn. Bhd. apabila pengarahnya, Mohd. Nizam Noh, 50, mengaku bersalah terhadap semua 26 pertuduhan dihadapi syarikat tersebut dalam prosiding yang berlangsung selama dua hari iaitu semalam dan hari ini.
Dalam prosiding berlangsung semalam, syarikat itu terlebih dulu didenda sebanyak RM3,000 untuk setiap satu daripada keseluruhan 13 kes dihadapkan terhadapnya.
Manakala untuk hari ini, syarikat tersebut didenda RM3,000 bagi setiap satu dari 10 kes dihadapi serta RM3,300, RM3,500 dan RM4,500 bagi tiga lagi pertuduhan terhadapnya.
Sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu, mahkamah turut memerintahkan waran melevi dikeluarkan terhadap syarikat tersebut.
Mohd. Nizam ketika ini difahamkan sedang menjalani hukuman penjara selama 14 tahun di Penjara Kluang, atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua award dikeluarkan TTPM yang gagal dipatuhi itu bertarikh 3 Mac 2020.
Menerusi award dikeluarkan TTPM itu, syarikat tersebut diarahkan untuk membayar balik wang berjumlah RM395,737 kepada 26 individu dalam tempoh 14 hari sejak 3 Mac 2020 namun hingga kini, bayaran tersebut langsung tidak disempurnakan. -KOSMO! ONLINE