fbpx

Pulau sudah buka, tapi laut pula bergelora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan laut bergelora berhampiran Jeti Marang yang menghalang kemasukan pelancong ke Pulau Kapas semalam.

KUALA TERENGGANU – Ke­terujaan pemain industri pelancongan di pulau-pulau peranginan seluruh Terengganu untuk menyambut kedatangan pelancong semalam bertukar kekecewaan apabila pergerakan masuk dan keluar bot dan feri terpaksa dibatalkan ekoran cuaca buruk.

Ia berikutan amaran angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan MetMalaysia de­ngan jangkaan ketinggian ombak antara 2.5 meter hingga 3.5 meter sejak 25 Februari lalu.

Kebanyakan pengusaha pelancongan terpaksa mengatur semula jadual bot dan feri serta memberi pilihan kepada pelancong sama ada memba­talkan percutian atau menukarnya ke tarikh bersesuaian.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, kadar tempahan penginapan telah meningkat 35 peratus sebaik sahaja kerajaan negeri mengumumkan pembukaan operasi peranginan pada minggu lalu.

“Banyak hotel, resort dan chalet di rangkaian pulau pe­ranginan negeri ini telah bersedia untuk beroperasi penuh ekoran berak­hirnya tengkujuh.

“Namun, sayangnya pada hari pertama pembukaan se­mula hari ini (semalam), perge­rakan keluar masuk pelancong terpaksa ditunda ekoran ombak tinggi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! pada 22 Februari lalu melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman memaklumkan rangkaian pulau peranginan di Terengganu dibenarkan kembali beroperasi bermula 1 Mac setelah ditutup akibat monsun Timur Laut.

Sementara itu, pemilik Ombak Kapas Island Beach Resort, Hawa Abd. Rahman juga menangguhkan kunjungan pelancong ke Pulau Kapas, Marang semalam.

“Walaupun perjalanan ke Pulau Kapas hanya ambil masa kira-kira 20 minit dari Jeti Marang tetapi laut masih berge­lora dan tidak selamat untuk pergerakan bot,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI