PETALING JAYA – Pelaksanaan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 20 peratus bermula semalam hingga 31 Mei seperti diumumkan pada Belanjawan 2023 meliputi empat kategori.
PTPTN dalam kenyataan memberitahu, ia merangkumi diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman serta diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang.
Katanya, selain itu diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) mengikut jadual bayaran balik serta diskaun lima peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.
“Semua peminjam PTPTN termasuk yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan dan penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) adalah layak menikmati insentif ini.
“Peminjam yang ingin membuat penyelesaian penuh pinjaman atau sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang perlu membuat pengesahan baki pinjaman melalui aplikasi myPTPTN atau portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.
“Mereka juga boleh menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN sebelum membuat bayaran balik melalui saluran bayaran yang telah disediakan,” jelasnya hari ini.
Bagi peminjam yang sedang membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) adalah layak mendapat diskaun 15 peratus secara automatik.
“Seterusnya peminjam yang ingin membuat potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) pula boleh membuat permohonan melalui aplikasi myPTPTN atau portal rasmi PTPTN. Selain itu, diskaun lima peratus juga diberikan bagi bayaran balik yang dibuat melalui aplikasi myPTPTN,” katanya.
Berhubung pelaksanaan penangguhan bayaran balik, semua peminjam yang dalam tempoh membayar balik dan mempunyai pendapatan bulanan RM1,800 (gaji kasar) ke bawah layak memohon penangguhan kecuali peminjam yang telah menyertai Debt Management Programme (DMP) di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi pinjaman PTPTN. – KOSMO! ONLINE