KUALA TERENGGANU – Seorang pemuda maut selepas kereta Proton Persona dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultan Mahmud di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.11 pagi itu, mangsa, Ahmad Amirul Amzar Ahmad, 20, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Persona dipandu Ahmad Amirul Amzar dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan.
“Kereta dinaiki mangsa kemudiannya merempuh sebatang tiang lampu yang terdapat di pembahagi jalan berkenaan. Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE