GEORGE TOWN – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di negeri ini selepas menahan pasangan suami isteri sekali gus merampas sepucuk senjata api jenis Revolver .38 pada 23 Februari lalu.
Tangkapan ke atas pasangan warga tempatan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) di sebuah apartment di Gelugor di sini kira-kira pukul 11.50 malam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek lelaki berusia 46 tahun itu diberkas di bawah kawasan perumahan terbabit dan merampas dua peket plastik mengandungi syabu Seberang 51 gram.
Menurutnya, hasil penahanan lelaki tersebut telah membawa kepada serbuan di kediaman yang disewanya bersama isteri berusia 43 tahun.
“Kita menemui satu kotak plastik berisi sembilan peket dadah jenis syabu dengan anggaran berat 97 gram bernilai RM9,700 dan lima peket plastik mengandungi serbuk dan ketulan heroin seberat 460 gram bernilai RM16,100.
“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai sepucuk pistol jenis Revolver .38 S&W Special CTG bersama sebutir peluru hidup jenis TA .38 dan empat butir hidup jenis AP 13 S8 SPL.
“Siasatan mendapati kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu telah bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu dan kesemua dadah yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan di Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar di IPD TL di sini hari ini.
Jelasnya, nilai bagi kesemua rampasan dadah adalah RM30,900 dan hanya suspek lelaki yang didapati positif dadah jenis Methamphetamine selain memiliki rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah. – KOSMO! ONLINE