COPENHAGEN – Parlimen Denmark bersetuju untuk memansuhkan cuti umum musim bunga bagi meningkatkan dana perbelanjaan ketenteraan, lapor Badan Penyiaran British (BBC) kelmarin.
Wakil-wakil rakyat negara itu mengundi dengan undian 95-68 untuk membatalkan Great Prayer Day yang merupakan cuti umum keagamaan sejak abad ke-17.
Pembatalan itu akan membolehkan pertambahan sebanyak 3 bilion kroner Denmark (RM1.9 bilion) disalurkan kepada bajet pertahanan, demikian menurut kerajaan.
Langkah itu bagaimanapun mendapat tentangan daripada ahli politik pembangkang, kesatuan sekerja dan tokoh-tokoh agama berhubung pemansuhan cuti tersebut.
Awal bulan lalu, kira-kira 50,000 penunjuk perasaan berkumpul di luar bangunan Parlimen di Copenhagen bagi membantah rancangan itu.
“Kerajaan mengarahkan orang ramai bekerja selama satu hari lagi,” kata Karsten Honge, yang merupakan wakil daripada Parti Rakyat Sosialis semasa perbahasan di Parlimen kelmarin.
Pembatalan cuti umum itu mula dicadangkan pada Disember tahun lalu bagi membantu meningkatkan hasil cukai untuk menampung perbelanjaan pertahanan lebih tinggi berikutan perang Ukraine.
Kerajaan sebelum ini berkata, wang tambahan tersebut diperlukan untuk meningkatkan bajet pertahanan kepada sasaran Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) iaitu sebanyak dua peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2030.
Pertambahan sebanyak AS$654 juta (RM2.7 juta) yang diperlukan untuk memenuhi sasaran tersebut mungkin boleh dicapai dengan adanya hasil cukai lebih tinggi yang dijangka boleh dikumpul dengan menghapuskan cuti umum. – Agensi