KLANG – Presiden dan Naib Canselor Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL), Datuk Prof. Dr. Noor Inayah Yaakub menjadi nazir wanita pertama bagi masjid di Selangor.
Pelantikan Noor Inayah sebagai nazir Masjid Ikram, Bangi sesi 2023 hingga 2025 itu diperoleh pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid Negeri Selangor 2023-2025 di Istana Alam Shah, hari ini yang disempurnakan Sultan Selangor, , Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurut Noor Inayah, pengiktirafan ini mengangkat martabat wanita dalam meningkatkan pengurusan sesebuah masjid agar lebih mantap dan memakmurkan institusi itu untuk manfaat kepada seluruh penduduk setempat.
Katanya, beliau berharap sokongan sepenuhnya daripada rakan-rakan yang lebih bijak pandai termasuk pada para imam.
“Alhamdulillah, saya menerima lantikan dengan rasa bersyukur kepada Allah SWT, kerana saya difahamkan pada tahun ini hingga 2025, satu-satunya nazir yang dilantik di Selangor bagi sebuah masjid institusi iaitu masjid di IUKL.
“Memanglah satu tanggungajawab yang besar kerana masjid ini kalau pada zaman Rasulullah SAW juga sebuah tempat untuk menimba ilmu. Zaman Khalifah Makmun baitul hikmah juga dijadikan sebagai sasaran untuk mendapatkan ilmu, asalnya sebuah masjid,” katanya ketika ditemui selepas istiadat tersebut.
Turut menerima watikah pelantikan adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Proton, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir yang masing-masing dilantik sebagai Nazir di Masjid An-Nur dan Masjid Al-Falah Subang Jaya.
Selain itu, Pengarang Berita Utusan Malaysia, Mohammad Radzi Mohd. Zin yang dilantik oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Selangor sebagai Imam 1 di Masjid An-Nur Saujana Utama, Sungai Buloh.
Dalam pada itu, Mohammad Radzi menjelaskan ini adalah satu tanggungjawab bagi memastikan masjid dapat dimakmurkan dan terus menerima peningkatan jemaah.
“Ini adalah satu amanah dan InsyaAllah akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin selaras titah Sultan Sharafuddin supaya masjid menjadi pusat beribadat umat Islam dan pusat keilmuan, pusat dakwah serta pusat kemasyarakatan umat Islam,” katanya. -KOSMO! ONLINE