fbpx

Luar biasanya seorang Beto, Imaginur calon terbaik FFM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SINERGI lakonan antara Diana dan Beto dalam Imaginur menjadi aspek utama yang membuatkan naskhah berkenaan meninggalkan bekas luar biasa kepada audiens.

BUKAN mudah untuk melihat filem Melayu yang benar-benar menemukan ‘rasa’ kepada audiens.

Pandangan sedemikian tidak terpakai untuk menonton karya sutradara Nik Amir Mustapha.

Karya garapannya terdahulu seperti KIL dan Terbaik Dari Langit menjadi sebab konkrit mengapa filem terbaharu sentuhannya, Imaginur jangan sesekali dilepaskan untuk menjadi pilihan tontonan di panggung.

Meminjamkan deria tonton, rasa dan dengar buat naskhah berdurasi sejam 30 minit tersebut, tidak keterlaluan untuk diakui sini bahawa naskhah terbitan, Lumatic Films itu layak dicanang sebagai filem Melayu terbaik tahun ini.

Dari segi lakon layar, garapan atau penceritaan, skrip dan termasuk sinematografi serta sudah tentu, terjemahan karakter barisan pelakon terlibat, terutamanya Beto Kusyairy yang memainkan peranan sebagai Zuhal, semua perihal yang disebutkan berada dalam liga tersendiri.

Watak Afdlin sebagai Dr. Ramli juga boleh disifatkan sebagai MVP atau pelakon paling penting dalam Imaginur.

Terjemahan, komitmen

Pertama sekali, lakonan semua pelakon terlibat memang membanggakan. Beto, anda tidak pernah mengecewakan.

Bagaimana watak Zuhal digarap dan dimainkan dengan begitu sempurna dan ‘strategik’, Beto memang dilahirkan untuk menjadi seorang anak wayang yang memberi dampak sukar dilupakan jiwa penonton.

Lontaran dialog ‘adlibs’ penuh kejujuran, permainan emosi yang dicernakan, mimik muka dan rencam penting lain yang patut ada dalam diri seorang pelakon hebat, itu ada dalam diri Beto yang menterjemahkan karakter Zuhal.

Bercakap tentang sinergi atau cetusan kimia antara watak Zuhal dengan Nur (lakonan Diana Danielle), penulis sebenarnya tidak tahu untuk gambarkan setepat mungkin.

Namun yang pasti babak-babak melibatkan mereka menghadirkan rasa merinding dan pada masa sama, bangga kerana akhirnya ada karya tempatan yang dihasilkan luar kotak layak dipalu gendang dan diberikan perhatian sewajarnya.

Antara babak dalam Imaginur yang memaparkan keindahan sebuah negeri kecil di Malaysia, Perlis.

Mata berhabuk

Penonton barangkali akan sedikit terkeliru dengan naratif dipaparkan pada awal filem, namun dari masa ke masa, Imaginur mula menyerap ke jiwa penonton dan membuatkan mata ‘berhabuk’, terutama pada hujung atau bahagian klimaks perjalanan filem.

Buat mereka yang pernah melalui saat kehilangan orang tersayang, pasti akan dapat ‘merasai’ apa yang disampaikan melalui Imaginur, meskipun pada awal penceritaan agak perlahan atau mengelirukan.

Itu kerja Nik Amir. Seorang pengarah yang mempunyai gaya pengarahan tersendiri dan antara nilai yang diterapkan adalah membuatkan penonton berfikir.

Dari segi visual, Perlis sebagai latar tempat, sememangnya sebuah negeri yang kecil, namun berjiwa besar dengan segala macam keindahan yang tersendiri. Perlis menjadikan visual Imaginur mencengkam mata.

Komitmen pelakon lain yang terlibat seperti Datuk Adflin Shauki sebagai Dr. Ramli juga sangat bertepatan.
Dia tahu apa yang harus dilakukan sebagai Dr. Ramli dan tidak langsung mengecewakan.

 

Mior MVP

Shout out juga kepada pelakon yang mambawakan watak bapa kepada Zuhal iaitu Mior Hashim. Penulis tidak dapat bayangkan orang lain membawakan watak tersebut secemerlang dirinya.

Biarpun hanya ‘membisu’ disebabkan penyakit Alzheimer, buat penulis, dia antara most valuable player (MVP) dalam Imaginur.
Secara keseluruhannya, Imaginur membuka dimensi baharu dalam dunia sinematik tanah air. Penulis berani bagi markah 8/10 kerana Imaginur memang bagus.

Ketika pembikin lain berlumba-lumba meenghasilkan cerita hantu, gengster atau lumba haram, Nik Amir hadir dengan sebuah karya indah yang pasti kini berbaris sebagai calon filem terbaik bagi Festival Filem Malaysia (FFM) akan datang.

Buat Beto, anda punya bakat tidak ternilai dan jangan biarkan tekanan nilai komersial membuatkan langkah anak wayang anda terbantut.

Apa yang khalayak nampak, Beto seorang pelakon luar biasa yang memberi jiwa sepenuh raga apabila beraksi di layar perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI