fbpx

Lokasi kedai strategik, tetapi letih hadap banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD IRDZUAN membersihkan kedai yang diusahakan bersama isteri selepas dinaiki air di pusat bandar Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – Peniaga di Jalan Niaga 3 di sini letih apabila acap kali terpaksa berdepan dengan situasi banjir yang berlaku pada hujung tahun dan awal tahun.

Seorang peniaga, Nurul Syaz­wani Omar, 25, berkata, dia pernah terfikir untuk berpindah, namun merasa sayang apabila lokasi kedainya sekarang dianggap sebagai strategik kerana terletak di pusat bandar.

Namun katanya, dia juga mengakui sudah penat kerana kedainya yang terletak di bahagian kawasan rendah kerap dinaiki air banjir.

“Kami sedar banjir pada pukul 6.30 pagi selepas ayah mengejutkan kami dan lihat air sudah sampai paras buku lali. Mujur kami cepat bertindak kemas barang dan sempat selamatkan semua barang di kawasan rendah.

“Dalam tempoh setengah jam sahaja air sudah mula naik sampai bawah lutut. Banjir berlaku kali ini memang mengejutkan sehinggakan kami tak sempat untuk buat persiapan awal.

“Biasanya hujung tahun dan awal Januari kami memang sudah bersiap sedia jika banjir. Kali ini secara tiba-tiba. Mujur tidak alami kerugian teruk,” katanya di sini semalam.

Katanya, dia menjalankan perniagaan produk kesihatan dan kecantikan sejak lima tahun lalu bersama suami, Mohamad Irdzuan Abd. Mutalib, 28.

Katanya, mereka pernah dilanda banjir besar pada 2020 sehingga paras dada dan kerugian kira-kira RM60,000.

“Ketika itu memang tidak sempat buat apa-apa. Kami bangkit semula dengan gunakan wang simpanan yang ada.

“Kawasan ini sebelum ini lagi mudah dinaiki air bila air pasang, kedai kami dinaiki air namun selepas pihak berkuasa membuat longkang di depan masalah itu berkurangan,” katanya.

Tambahnya, dia merancang untuk berpindah ke kawasan lain sekiranya mendapat lokasi kedai yang strategik agar tidak perlu lagi memikirkan masalah banjir.

Jelasnya, terdapat beberapa buah kedai sebaris dengannya telah berpindah ekoran tidak tahan dengan masalah banjir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI