ALOR SETAR -Jaringan pemain gantian, Mohd. Fadzrul Danel pada minit terakhir membolehkan lebih 21,000 penyokong Sang Kenari berpesta apabila Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berjaya mengatasi Terengganu FC (TFC) 1-0 di Stadium Darul Aman di sini, malam ini.
Aksi pantas seawal minit pertama mula dihiasi dengan percubaan menarik pada minit ke-14 apabila sepakan percuma diambil tonggak tengah KDA FC, Amirbek Juraboev dari luar kotak penalti sedikit melewati palang.
Hanya seminit selepas itu, pemain naturalisasi negara, Lee Tuck pula menghampakan penyokong Sang Kenari apabila dia gagal menjaringkan gol meskipun hanya berdepan satu sama satu dengan penjaga gol Terengganu, Mohd. Suhaimi Hussain.
Pasukan pelawat juga tidak sepi daripada turut melakukan percubaan, namun penyerang import mereka dari Croatia, Ivan Mamut gagal membuat tandukan kemas meskipun sepakan percuma Sony Norde tepat menemuinya dalam kotak penalti pada minit ke-19.
Tidak berdiam diri dengan keadaan itu, KDA FC lalu membalas serangan pada minit ke-22, namun tandukan pemain pertahanan mereka, Bojan Ciger sedikit melepasi palang setelah dia menerima sepakan sudut dari Manuel Hidalgo.
Peluang terbaik KDA FC untuk menghasilkan jaringan pertama muncul pada minit ke-38 apabila Mohd. Suhaimi tersilap membuat jangkaan ketika melayangkan badannya untuk mencapai bola hantaran lintang pemain pertahanan tuan rumah, Wan Amirul Afiq dari kiri pintu gol TFC.
Keadaan itu menyebabkan gawang terbuka apabila bola sampai ke kaki penyerang berbisa Sang Kenari, Willian Lira di dalam kotak penalti.
Namun rembatan pemain berusia 29 tahun dari Brazil itu terkena salah seorang pertahanan TFC menyebabkan bola membias dan tersasar dari pintu gol lawan.
Babak kedua yang tertangguh kira-kira 15 minit akibat salah sebuah lampu limpah terpadam tiba-tiba pada masa rehat, tidak langsung mengganggu kerancakan permainan dengan tuan rumah terus melakukan asakan sebaik wisel dibunyikan pengadil, S. Logeswaran.
Sang Penyu bagaimanapun terlebih dulu mendatangkan rasa cemas kepada penyokong KDA FC apabila pemain import mereka dari Thailand, Adisak Kraison melepaskan rembatan padu dari kotak penalti pada minit ke-54.
Benteng terakhir Sang Kenari, Kalamullah Al-Hafiz bagaimanapun nyata lebih bersedia apabila dia merebahkan badan untuk menyelamatkan percubaan tersebut yang dihalakan ke tengah pintu gol tuan rumah.
TFC selepas itu seakan mendapat tonik baharu apabila mereka mula menguasai perlawanan dengan sayap muda yang dimasukkan sebagai pemain gantian, Muhammad Syafik Ismail memainkan peranan cukup besar di sebelah kanan bagi mengucar-ngacirkan pertahanan tuan rumah.
Hanya pada minit ke-86, barulah KDA FC tampak ‘bernafas’ untuk kembali menyerang. Begitupun tandukan pemain gantian mereka, Jonathan Balotelli gagal menepati sasaran untuk menghasilkan jaringan buat tuan rumah.
Kekentalan benteng pelawat akhirnya runtuh juga pada minit terakhir perlawanan apabila Fadzrul bijak bertindak pantas menolak bola ke gawang yang tidak dikawal, setelah menerima bola hantaran dari Willian Lira yang memintas bola hantaran ke belakang pemain TFC kepada penjaga gol mereka.
Gol itu menyebabkan Stadium Darul Aman gamat dengan sorakan penyokong yang memenuhi segenap penjuru stadium untuk KDA FC memuktamadkan kemenangan 1-0 di laman sendiri. – KOSMO! ONLINE