LIMA, Peru – Polis di Peru membuat penemuan mengejutkan apabila memeriksa seorang penghantar barang yang berada dalam keadaan mencurigakan selepas dia berpura-pura mabuk di sebuah tapak arkeologi di bandar Puno, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).
Hasil pemeriksaan menemui satu mumia purba di dalam beg penyejuk milik lelaki tersebut.
Lelaki itu mendakwa dia telah berkongsi bilik dengan mumia tersebut dan menganggap ia sejenis ‘teman wanita rohani’. Dia dikatakan memasukkan mumia itu ke dalam beg untuk dipamerkan kepada rakan-rakannya.
Ketika disoal siasat, lelaki berkenaan menjelaskan bahawa dia menyimpan mumia dipanggil ‘Juanita’ itu di dalam kotak bersebelahan sebuah televisyen di dalam biliknya.
Mumia itu didakwa milik bapanya tanpa menyatakan bagaimana dia mendapatkannya.
Pakar memberitahu bahawa mumia tersebut berusia antara 600 hingga 800 tahun dan tubuhnya lebih menyerupai lelaki berbanding wanita.
Mumia lelaki itu dianggarkan berusia lebih 45 tahun ketika dia meninggal dunia dan ketinggiannya ialah 151 sentimeter.
Ia dibalut dalam kedudukan janin yang merupakan kaedah tipikal dalam kebanyakan upacara pengebumian budaya Sepanyol di kawasan itu.
Mumia tersebut telah diserahkan kepada kementerian kebudayaan Peru manakala lelaki terbabit dan dua rakannya telah ditahan dan disiasat kerana disyaki melakukan jenayah terhadap warisan budaya Peru. – Agensi