fbpx

FGV peruntuk RM500,000 bagi Program Jalinan Mesra Saji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dzulkifli (tengah) bergambar bersama asnaf pada Program Jalinan Mesra Saji di Masjid Negara, malam ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd (FGV) memperuntukkan RM500,000 bagi Program Jalinan Mesra Saji untuk menyantuni masjid terpilih sekitar Wilayah Persekutuan pada tahun ini.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) itu akan menyantuni lapan masjid terpilih sekitar Wilayah Persekutuan dengan Masjid Negara dijadikan lokasi pertama bagi program tersebut.

Pengerusi FGV Datuk Dzulkifli Abd Wahab berkata FGV melalui anak syarikat Delima Oil Product (DOP) bekerjasama dengan MAIWP dan JAWI untuk menyalurkan sebahagian daripada wakalah zakat FGV kepada golongan yang kurang berkemampuan melalui program Komuniti Bersama Saji.

Katanya, program ini memfokuskan pemberian bantuan khususnya buat golongan miskin bandar yang dilihat semakin terkesan dengan kos sara hidup yang kian mencengkam.

“Di samping itu, kita juga telah memilih seramai 100 orang penerima di dalam kariah masjid tersebut, kecuali bagi kariah Masjid Negara pada hari ini seramai 200 orang penerima telah dipilih untuk menerima sumbangan wang tunai dan juga produk-produk barangan FGV khususnya barangan Saji.

“Kita juga memberikan sedikit peruntukan kepada masjid untuk membeli barangan keperluan bagi mengisi Food Bank di masjid-masjid tersebut dengan peruntukan keseluruhan RM500,000,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Jalinan Mesra Saji di Masjid Negara di sini malam ini.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan memuji usaha kumpulan FGV yang sentiasa peka atas tanggungjawab menunaikan zakat sekali gus prihatin terhadap keperluan asnaf yang semakin meningkat ketika ini.

“FGV merupakan pembayar zakat perniagaan dan majikan yang membuat potongan gaji zakat kakitangan di PPZ-MAIWP.

“Dengan pembayaran zakat perniagaan dan potongan zakat kakitangan, telah melayakkan FGV menerima Skim Wakalah untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI