fbpx

Pelarian Rohingya hanya boleh tunggang basikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita sebanyak 83 buah kenderaan termasuk kereta, lori dan motosikal yang digunakan oleh warga asing di atas jalan raya dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Pewa) minggu lalu.

Jumlah itu jelas menunjukkan ramai warga asing terutama­nya etnik Rohingya tidak takut, malah semakin berani memandu dan menunggang motosikal tanpa dokumen sah selain perlin­dungan insurans.

Mereka beranggapan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang dibawa bersama setiap masa itu merupakan satu lesen besar untuk mengelak ditahan.

Hakikatnya, kad itu tidak laku dan tidak boleh digunakan sebagai ganti lesen memandu.

Selain itu, berdasarkan statistik JPJ Kelantan, sebanyak 1,350 notis saman atas pelbagai kesa­lahan melibatkan warga asing di jalan raya dikeluarkan sejak Januari 2021 hingga Februari lalu.

Kebanyakan daripada etnik Rohingya akan membeli atau menyewa ken­deraan untuk kegunaan bekerja dalam sektor pembinaan atau mencari barang lusuh.

Apabila ditahan JPJ atau pihak polis, mereka beri alasan bahawa kereta, lori atau motosikal yang ditunggang itu milik majikan untuk melepaskan diri terutamanya di sekatan jalan raya (SJR).

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, kes-kes melibatkan pemandu warga ­asing tidak akan berlaku sekiranya rakyat tempatan tidak menjual atau menyewakan ken­deraan kepada golongan tersebut.

Menurutnya, warga asing berani membawa kenderaan apabila pemilik memberi jaminan akan bekerjasama dan membayar kompaun sebanyak RM300 sekiranya ditahan JPJ.

“Ada konsep pemintaan dan penawaran dalam aspek jual beli kenderaan kepada warga asing. Mereka (warga asing) memerlukan kenderaan untuk bergerak dan bekerja, malah ada ramai rakyat tempatan menawarkan kenderaan kepada mereka.

“Perkara ini bukan baru, malah ia sudah lama berlaku apabila warga tempatan melihat proses jual beli kenderaan kepada orang luar sebagai lubuk untuk memperoleh lebih keuntungan,” katanya kepada Kosmo!.

Mengulas lanjut, Mohd. Misua­ri memberitahu, sebelum ini, warga asing dikenakan tindakan notis saman mengikut Seksyen 26(1) dan Seksyen 90 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu tiada lesen selain tiada perlindungan insurans.

Menurutnya, disebabkan berlaku banyak tangkapan kes melibatkan warga asing, pihaknya akan menguatkuasakan tindakan mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik kenderaan tidak lama lagi.

“Tidak dinafikan, ada warga tempatan yang menipu dan memanipulasi dokumen kenderaan mereka untuk dijual kepada etnik Rohingya. Mereka memberi dokumen palsu kononnya kende­raan itu sudah ditukar hak milik kepada warga asing,” katanya.

Menurut Mohd. Misuari, kea­daan itu menyebabkan berlakunya salah faham antara warga asing dengan anggota penguat kuasa JPJ semasa mereka ditahan di SJR apabila menganggap bahawa kenderaan tersebut merupakan hak milik persendirian mereka.

Katanya, warga asing yang masuk secara haram sebenarnya tiada hak untuk membawa sebarang kenderaan yang mempunyai enjin di atas jalan raya.

“Hakikatnya, semua warga ­asing terutamanya etnik Rohingya hanya boleh menunggang basikal di negara ini. Jika mereka me­nunggang basikal, JPJ pun tidak akan mengganggu dan mengambil tindakan ke atas mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI