MANCHESTER – Pengurus legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson menggesa pihak pengurusan kelab lamanya itu berusaha untuk mendapatkan penyerang tulen biarpun mereka sedang menikmati ketajaman Marcus Rashford ketika ini.
Ferguson yang berada di Wembley ketika United merangkul gelaran Piala Liga England Isnin lalu menyaksikan Rashford meledak gol ke-25 dalam semua kejohanan musim ini sekali gus menjadi rekod karier terbaiknya setakat ini.
“Saya tidak fikir dia seorang penyerang. Dia lebih selesa beroperasi di kawasan sebelah kiri dan cukup hebat menguasainya. Sentuhan penyudahnya begitu sempurna, rembatannya sentiasa rendah dan itu sesuai untuk seorang penyerang.
“Apa yang malang adalah kelab hanya bergantung kepadanya untuk mendapatkan jaringan. Alangkah lebih baik jika mempunyai seorang penyerang tulen dan dalam masa yang sama Rashford mampu terus menyumbang,” katanya.
Musim ini menyaksikan Rashford dilihat kerap bertukar posisi dengan menjadi pemain sayap kiri, namun lebih banyak berlegar di kawasan tengah ekoran United yang tidak memiliki penyerang tulen.
Anthony Martial yang menjadi taruhan untuk bertindak sebagai penggempur utama musim ini tidak mampu melakukan tugas berkenaan ekoran kerap berdepan isu kecederaan.
United dilaporkan akan terus aktif dalam pasaran perpindahan musim panas ini untuk mendapatkan penyerang dengan bintang Napoli, Victor Osimhen menjadi sasaran, namun Kylian Mbappe turut menjadi impian para penyokong The Red Devils. – AGENSI