KUALA LUMPUR – Malaysia tetap mengutamakan pembangunan pemain bola sepak tempatan melalui program pembangunan bola sepak negara walaupun membenarkan pemain naturalisasi membarisi skuad Harimau Malaya.
Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh berkata, pembangunan pemain bola sepak tempatan merupakan keutamaan Malaysia dalam segala agenda untuk pembangunan bola sepak negara ini.
“Kehadiran pemain naturalisasi bukan satu kerisauan kepada kita dan pendirian KBS, kita akan sentiasa bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memastikan pembangunan pemain tempatan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) tentang ranking pasukan bola sepak Malaysia di peringkat Asia Tenggara, Asia serta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan adakah Malaysia masih mempercayai kemampuan jurulatih serta pemain naturalisasi.
Terdahulu, Hannah berkata, skuad bola sepak negara pada masa ini menduduki tempat ke- 145 FIFA, tempat ke-25 Asia, tempat ke-5 ASEAN dan pelantikan jurulatih serta atlet bola sepak negara adalah dibawah FAM.
Ujar beliau, kewujudan jurulatih asing bagaimanapun bukan sesuatu yang baru dalam arena sukan di seluruh dunia dan pelantikan adalah berdasarkan pengalaman serta rekod prestasi cemerlang bagi membantu atlet negara.
“Sama ada Kim Pan-gon (Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya) telah membuktikan prestasi yang bagus? Ini adalah buktinya. Beliau selepas dilantik, buat pertama kali sejak 43 tahun lalu Malaysia layak ke piala Asia pada Jun tahun lepas secara merit.
“Beliau turut berjaya membuktikan kemampuan apabila skuad negara melangkah ke peringkat separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 sekaligus menepati sasaran ditetapkan FAM,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Kalam, beliau berkata, KBS akan berbincang dengan FAM tentang cadangan untuk mewujudkan semula liga bola sepak di peringkat daerah.
“Saya percaya inisiatif terbaru dalam bajet geran padanan akan membolehkan lebih banyak penganjuran sukan di peringkat akar umbi seperti dicadangkan oleh Ahli Parlimen Sabak Bernam,” katanya. – KOSMO! ONLINE