fbpx

Dendam jadi punca pengawal keselamatan dikerat tujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein menunjukkan gambar keratan anggota mangsa yang dibuang dalam Lebuh Raya Utara-Selatan sebelum ini. FOTO: AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Dendam menjadi motif utama pembunuhan kejam terhadap seorang pengawal keselamatan warga Nepal yang dipotong tujuh bahagian sebelum disumbatkan dalam bagasi yang ditemui di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan mendapati mangsa pernah memukul dan membuli rakan senegaranya yang juga suspek kejadian itu.

Katanya, siasatan turut mendapati mangsa berusia 48 tahun telah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah apartmen di Sungai Buloh antara setahun hingga dua tahun.

“Mangsa telah dibunuh dan dikerat di bilik stor apartmen tempatnya bekerja oleh rakan senegaranya. Suspek kemudiannya membawa bagasi berisi keratan anggota badan mangsa menggunakan motosikal sebelum membuangnya di tepi lebuh raya itu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, seramai 15 individu yang masing-masing adalah 12 warga Nepal, Indonesia (2) dan seorang Filipina telah ditangkap susulan kejadian itu.

Ujarnya, daripada kumpulan suspek itu juga terdapat dua wanita dan semuanya berusia 24 hingga 44 tahun.

“Hasil soal-siasat mendapati enam warga Nepal termasuk seorang yang masih bebas didapati terlibat dalam kes tersebut. Kesemua suspek ini bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Kita telah menghantar kertas siasatan kepada pihak pendakwaan dan mendapat arahan tuduh dalam masa terdekat terhadap tiga lelaki termasuk yang masih bebas berusia 24 hingga 30 tahun,” ujarnya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kosmo! pada 17 Januari lalu melaporkan mayat seorang lelaki dipotong tujuh bahagian dengan anggota badannya disumbatkan ke dalam bagasi ditemui di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur Rawang Selatan arah utara. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI