fbpx

China sindir AS ‘takut’ terhadap TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AS tidak lagi membenarkan para pekerja agensi persekutuan menggunakan TikTok pada telefon bimbit kerajaan. - AFP

WASHINGTON – China menganggap Amerika Syarikat (AS) bertindak keterlaluan selepas kakitangan persekutuan diarah memadam aplikasi TikTok daripada telefon bimbit milik kerajaan, lapor Badan Penyiaran British (BBC) kelmarin.

Isnin lalu, White House memberikan tempoh selama 30 hari kepada agensi-agensi kerajaan AS untuk memastikan para pekerjanya tidak mempunyai aplikasi milik syarikat dari China tersebut pada peranti milik negara.

Arahan terbaharu itu mengikuti langkah serupa yang diambil oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Kanada dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang turut mengarahkan kakitangan kerajaan memadam aplikasi perkongsian video berkenaan.

Bagaimanapun, Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning menuduh AS menyalahgunakan kuasa negaranya untuk menindas firma-firma asing.

“Kami secara tegas menentang tindakan itu. Kerajaan AS harus menghormati prinsip ekonomi pasaran dan persaingan yang adil, berhenti menindas syarikat dan menyediakan persekitaran yang terbuka, adil serta tidak mendiskriminasi syarikat-syarikat asing di negara itu.

“Bagaimana satu kuasa hebat dunia seperti AS berasa takut terhadap aplikasi kegemaran golongan muda seperti itu?” soal Mao Ning kepada pemberita kelmarin.

Pegawai-pegawai Barat semakin bimbang mengenai aplikasi perkongsian video popular itu yang dimiliki oleh syarikat China, ByteDance sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Ini kerana TikTok didakwa mengumpul data pengguna dan menyerahkannya kepada pemerintah China dengan beberapa agensi perisikan bimbang maklumat sensitif akan terdedah.

Bagaimanapun, ByteDance menegaskan operasinya adalah tidak berbeza dengan syarikat-syarikat media sosial lain dan menyatakan ia tidak akan mematuhi arahan untuk melakukan pemindahan data. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI