fbpx

Budayakan gaya hidup sederhana, elak hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Sedar atau tidak, sebahagian daripada masyarakat kita terutama yang tinggal di bandar-bandar besar khususnya melibatkan orang-orang muda serta mereka yang berkeluarga kini lebih cenderung kepada gaya hidup bermewah-mewah.

Walaupun sesetengahnya menyedari isi poket tidaklah setebal mana, namun demi memenuhi selera dan gaya kehidupan yang dianggap up to date, mereka sanggup berbelanja dan berhutang kepada benda-benda yang tidak perlu asal saja dilihat hebat oleh orang lain.

Bermula daripada minuman, makanan, pakaian, telefon pintar, hiasan rumah, motosikal hinggalah ke kereta, semuanya mesti daripada yang berjenama mewah.

Semuanya tidak lain supaya si pemakainya kelihatan hebat dan berada dalam kelas yang tersendiri.

Bagi mereka yang benar-benar ‘berwang’, mungkin tidak ada masalah untuk menjalani gaya kehidupan sedemikian rupa, namun akan menjadi masalah kepada mereka yang sekadar cukup-cukup makan.

Mahu ikut cara kehidupan mewah, tetapi hakikatnya ia di luar kemampuan diri.

Sebagai contoh, bayaran bulanan untuk kereta yang ideal bagi mereka yang berpendapatan RM3,000 sebulan mungkin hanya sekitar RM700.

Namun ada dalam kalangan yang bergaji sejumlah itu sanggup membelanjakan sehingga RM1,500 sebulan untuk tempoh 9 tahun demi memandu kereta idaman.

Malah, ada yang sanggup membuat pinjaman peribadi daripada pihak bank hanya untuk memiliki sebuah telefon pintar yang bernilai ribuan ringgit demi kelihatan bergaya. Akibatnya, ramai dalam kalangan mereka yang berdepan dengan krisis kewangan peribadi.

Ada yang terpaksa mengikat perut, ada yang dikejar pihak bank atau ah long dan ada juga yang porak peranda kehidupan mereka akibat bebanan hutang yang tak tertanggung.

Lebih buruk, ada dalam kalangan mereka yang terdorong dan terjerumus ke kancah rasuah, pecah amanah, penipuan atau salah guna kuasa demi mencari ‘duit tepi’ untuk memenuhi biaya kehidupan mewah yang sebenarnya berada di luar kemampuan mereka.

Jika sudah terjerumus ke kancah rasuah, pecah amanah atau penipuan, kerosakan yang dilakukan oleh mereka itu secara hakikaktnya akan turut memberi kesan kepada masyarakat yang lebih besar.

Jika rasuah itu dilakukan di sebuah syarikat, maka syarikat itu bisa terlingkup dan begitu juga jika pecah amanah itu dilakukan oleh pemimpin negara, maka sesebuah negara itu akan musnah dan rakyatnya menjadi mundur.

Padahal, semua itu sebenarnya dapat dielakkan daripada awal asal saja mereka sanggup berbelanja dengan mengukur baju di badan sendiri.

Hakikatnya amalan gaya hidup bermewah-mewah ini harus segera dihentikan jika tidak mampu kerana ia merupakan salah satu bentuk pembaziran dan menyalahgunakan nikmat yang dikurniakan Tuhan.

Jika boleh, hentikan juga tabiat suka berhutang kepada perkara yang tidak perlu kecuali atas keperluan yang memang tidak boleh dielakkan.

Budayakan gaya hidup yang sederhana dan asas yang dibina tanpa hutang selalunya akan menjadi lebih teguh serta kuat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI