SELEPAS terjebak penyalahgunaan dadah jenis ganja dan propofol, kini bintang Korea Selatan, Yoo Ah-in disahkan positif kokain serta ketamin.
Media Korea Selatan melaporkan,pihak berkuasa mengesahkan aktor filem Hellbound itu disahkan mengambil dadah jenis kokain dan ketamin setelah membuat ujian makmal terhadap sampel rambutnya.
Kini, polis dalam proses menyemak rekod preskripsi ketamin untuk mengetahui sama ada pelakon berusia 37 tahun itu mengambil bahan terlarang tersebut secara kerap atau tidak.
Sebelum ini, Ah-in menjalani ujian air kencing dan rambut untuk siasatan lanjut pada 5 Februari lalu.
Hasil mendapati dia positif ganja dan ujian rambut diserahkan kepada Unit Siasatan Narkotik Agensi Polis Metropolitan Seoul oleh Perkhidmatan Forensik Kebangsaan.
Sama seperti laporan sebelumnya, pemilik nama sebenar Uhm Hong-sik itu pernah disahkan positif propofol.
Polis mengesahkan pelakon Burning itu akan dipanggil soal siasat seawal minggu hadapan.
Sejak awal Februari, polis giat menyiasat pemenang anugerah Grand Prize For Film Actor Of The Year semasa 6th Asia Artist Award pada tahun 2021 kerana menggunakan dadah jenis propofol secara haram.
Pelakon lelaki itu ditahan pada 6 Februasri setibanya dari Amerika Syarikat atas dakwaan penyalahgunaan dadah jenis propofol, tetapi hasil air kencing mendapati dia juga positif mengambil ganja.
Polis juga mencari dan melakukan serbuan di beberapa pusat kesihatan di Seoul yang disyaki membekalkan dadah secara haram kepada Ah-in sejak 2021.
Isu penyalahgunaan dadah melibatkan pelakon pemenang pelbagai anugerah terbaik di peringkat global itu mengejutkan bahkan membimbangkan peminat.
-KOSMO ! ONLINE