PETALING JAYA – Seorang bekas pegawai kanan tentera didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memikat isteri orang tujuh tahun lalu.
Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Azmi Ali, 48, selepas tertuduh menukar kepada pengakuan bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama lima bulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Azmi didakwa dengan niat jenayah memikat wanita yang sudah bersuami berusia 44 tahun (ketika pertuduhan 2020) sehingga melakukan hubungan intim.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah tempat di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada awal tahun 2016.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Sekyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam tertuduh, Azman Zakaria, memohon denda minumum atas alasan anak guam adalah pesalah pertama, selain telah menyesal dengan perbuatannya.
“Tertuduh sudah berkahwin dan ada dua anak, selain tiada rekod jenayah. Dia juga telah berkhidmat sebagai tentera selama 28 tahun, namun dinasihatkan berhenti menyebabkannya dia menganggur.
“Pada Januari tahun ini, tertuduh berjaya mendapat pekerjaan baharu sebagai pegawai keselamatan bergaji RM4,500 sebulan. Tertuduh juga perlu menjaga ibu bapa yang telah uzur,” katanya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal memohon satu hukuman wajar sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama.
“Sejak kes ini berlangsung, pengadu (suami wanita yang dipikat) telah mengalami pelbagai masalah antaranya melibatkan institusi perkahwinannya, kemurungan (depresi) selain segala perniagaan yang diusahakan terpaksa gulung tikar akibat hilang fokus kerana kes ini” kata Siti Maryam.
Untuk rekod pada 29 September 2020, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret sama atas pertuduhan tersebut. – KOSMO! ONLINE