KUALA LUMPUR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan mempersiapkan kira-kira dua lagi pasukan untuk ke Johor berikutan negeri tersebut paling terkesan banjir setakat ini.
Pengarahnya, Lt Kol (PA) Effendy Ali, berkata, pasukan tersebut sedia digerakkan ke sana berdasarkan arahan dari masa ke masa.
“Sekarang kita berada di fasa menyelamat. Semalam, satu pasukan seramai 20 orang dihantar ke Johor dan kami diminta sedia satu atau dua pasukan lagi.
“Kalau dapat lampu hijau, kita akan gerak malam ini bergantung kepada arahan, ” jelasnya kepada media selepas merasmikan Majlis Kempen Derma Darah APM Wilayah Persekutuan Sempena Bulan Pertahanan Awam 2023, di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, situasi banjir di negeri Johor semakin buruk apabila jumlah mangsa terus mencatatkan peningkatan mendadak hampir mencecah lima angka membabitkan sembilan daerah di negeri tersebut.- KOSMO! ONLINE