PETALING JAYA – Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd membantah sekeras – kerasnya tindakan sebuah portal media tempatan berhubung penggunaan gambar tanpa izin menunjukkan jemaah dari agensi ini sedang berehat sambil menunggu penerbangan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut kenyataan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dalam Facebook rasminya semalam, penggunaan gambar itu turut disiarkan di platform media sosial Instagram, Facebook dan website portal berkenaan pada 2 Mac 2023.
“Penggunaan gambar jemaah umrah Andalusia dan beg-beg bagasi Andalusia yang jelas menunjukkan nama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd adalah suatu fitnah ke atas Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd yang tiada kaitan dengan kandungan publikasi tersebut.
“Ia menimbulkan keresahan ke atas jemaah yang gambar mereka dipublikasikan tersebut serta bakal jemaah Andalusia yang lain yang masih menunggu tarikh penerbangan masing-masing,” kata kenyataan itu semalam.
Katanya, tindakan itu sekali gus mencemarkan reputasi dan nama baik perniagaan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.
Susulan itu katanya, penyiaran gambar yang tidak bertanggungjawab dan jelek ini hendaklah ditarik balik dengan segera dan disertai dengan permohonan maaf secara terbuka kepada Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dan WAJIB disiarkan dalam setiap platform publikasi berkaitan beserta penjelasan bahawa kandungan publikasi tersebut adalah langsung tiada kaitan dengan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.
Dalam masa sama, Andalusia turut menafikan laporan portal berkenaan mengenai penipuan pakej umrah sehingga RM95,000 yang ada kaitan dengan mana-mana jemaah Andalusia.
“Kami bakal mengambil tindakan undang-undang tuntutan fitnah terhadap portal media itu kerana tindakannya menggunakan gambar jemaah Andalusia telah mengakibatkan keresahan jemaah Andalusia dan orang ramai serta menjatuhkan reputasi baik syarikat Andalusia Travel,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE