PETALING JAYA – Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat mengunjungi dua pusat teknologi canggih dan kemudahan pembuatan milik EDGE Group semalam.
Istana Negara menerusi kenyataan di laman Facebook berkata Al-Sultan Abdullah berkesempatan mengadakan lawatan di Abu Dhabi Ship Building dan CARACAL di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kenyataan itu juga berkata, keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah disambut Pengerusi Lembaga Pengarah EDGE Group Faisal Al Bannai dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EDGE Group Mansour Almulla serta barisan kepimpinan dan pengurusan tertinggi EDGE Group.
Turut mengiringi Al-Sultan Abdullah ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Duta Besar Malaysia ke UAE Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.
EDGE Group adalah sebuah konglomerasi 25 syarikat milik Kerajaan UAE yang menyediakan persenjataan tentera dan teknologi berkaitan. – KOSMO! ONLINE