MELAKA – Sebanyak 50 buah tabung khairat yang diletakkan secara haram di restoran, stesen minyak dan kedai runcit di sekitar negeri ini dirampas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam satu serbuan di sini, hari ini.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, kesemua tabung itu dirampas mengikut Seksyen 94 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka (Pindaan) 2022.
“Kita merampas 50 buah tabung kutipan derma yang ditinggalkan di premis-premis termasuk kedai makan stesen minyak dan pasar raya di seluruh negeri Melaka kerana telah ditinggalkan.
“Ia menjadi suatu kesalahan kerana tabung itu sepatutnya dibawa oleh pemungut itu sendiri dan mereka perlu menunjukkan kad kuasa pungutan dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kepada orang awam sebelum membuat kutipan,” katanya pada sidang akhbar Op Tanggal di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Jelasnya, mengikut pecahan sebanyak 35 buah tabung telah dirampas di sekitar daerah Melaka Tengah, manakala lima di Alor Gajah dan enam di Jasin.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut turut mengesan kegiatan sindiket yang menggunakan nama madrasah dan pusat tahfiz tidak wujud bagi mengaut keuntungan mudah.
“Hasil siasatan lanjut kita dapati ada di antara nama pertubuhan atau madrasah yang tertera di tabung tersebut tidak wujud dan apabila kita hubungi nombor telefon tertera ia tiada dalam perkhidmatan.
“Jadi kita nasihatkan kepada mereka yang ingin menyalurkan sumbangan agar memeriksa kad kuasa pemungut terlebih dahulu atau menderma secara terus kepada masjid dan surau,” katanya.
Tambahnya, pemilik premis yang membenarkan tabung kutipan itu ditinggalkan turut dikenakan tindakan di bawah enakmen sama. – KOSMO! ONLINE