fbpx

431 calon SPM tidak dapat duduki peperiksaan SPM akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak 17 pusat peperiksaan di Johor, Pahang dan Sarawak dikenal pasti telah terjejas susulan hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir sekaligus menjejaskan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, pihaknya sentiasa cakna dengan situasi semasa dan siap siaga dengan prosedur operasi standard dan langkah persediaan yang sewajarnya bagi memastikan peperiksaan SPM tahun 2022 dapat diteruskan dengan lancar dan teratur.

“Daripada 17 pusat peperiksaan yang terjejas itu, sebanyak tujuh daripadanya tidak dapat dibuka semula disebabkan terputus hubungan dan jalan raya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.

“Di Johor dan Pahang, seramai 195 calon terkesan dengan banjir namun berjaya digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan yang berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kementerian itu, seramai 431 calon juga telah terkandas akibat banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan berhampiran.

“KPM melalui Lembaga Peperiksaan (LP) sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai calon yang terlibat dan penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022 akan dilaksanakan
bagi kesemua 431 calon tersebut.

“Pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022 dalam situasi banjir dilaksanakan berpandukan kepada Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan (Operasi Payung) Bil.1/2001,” jelasnya.

Mengulas lanjut, KPM turut mengingatkan semua calon peperiksaan SPM tahun 2022 untuk turut memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan.

“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir yang disediakan di ibu pejabat LP serta JPN di seluruh negara dan Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri.

“KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik dan akan terus memantau situasi banjir sepanjang peperiksaan SPM tahun 2022 berlangsung. KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” ujar kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI