fbpx

Turkiye sedia eksport daging, ayam ke Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (kanan) ketika pertemuan pertama kali bersama Emir Salim (kiri) di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur semalam. FOTO IHSAN KPKM

PUTRAJAYA – Turkiye dilihat menjadi rakan dagang pertanian berpotensi tinggi kepada Malaysia apabila bersedia menawarkan sumber daging, ayam dan produk ayam selain madu serta buah-buahan untuk dieksport ke negara ini.

Keyakinan itu diberikan menerusi pertemuan dua hala antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu dengan Duta Besar Turkiye di Malaysia, Emir Salim Yuksel semalam.

KPKM dalam satu kenyataan berkata, pertemuan kali pertama itu membincangkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian terutamanya dalam pertanian moden dan penyelidikan pertanian.

“Kedua-dua negara turut bersedia untuk memperkukuhkan kerjasama perdagangan dalam bidang pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan mampan dan berterusan.

“Dalam pertemuan itu, Turkiye bersedia menawarkan sumber daging, ayam dan produk ayam, madu dan buah-buahan untuk dieksport ke Malaysia,” katanya di sini tadi.

Jelasnya, Turkiye juga bersedia berkongsi kepakarannya dalam bidang teknologi pertanian moden dan mekanisasi untuk membantu industri pertanian Malaysia.

“Turkiye merupakan rakan dagang pertanian yang berpotensi tinggi untuk Malaysia. Untuk rekod, perdagangan dalam sektor pertanian antara Malaysia dan Turkiye berjumlah RM6.14 bilion bagi tempoh Januari sehingga November 2022.

“Di akhir pertemuan, Mohamad turut menyampaikan rasa simpati berikutan bencana gempa bumi yang melanda Turkiye.

“Dalam masa yang sama, Turkiye turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Malaysia atas bantuan misi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI