fbpx

Pekebun getah anggap kenaikan 20 sen tak cukup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad menunjukkan susu getah yang rosak akibat cawan ditakungi air hujan di kebun getahnya di Kampung Gunung, Hulu Terengganu semalam..

HULU TERENGGANU – Rata-rata pekebun kecil berharap kerajaan dapat mempertimbangkan lagi kenaikan harga lantai getah yang bakal meningkat kepada RM2.70 sekilogram (kg) tidak lama lagi.

Pekebun kecil, Nurul Hidayu Abdullah, 48, berkata, pengumuman kerajaan menaikkan harga lantai getah kepada 20 sen daripada RM2.50/kg pada masa ini pada pembentangan Bajet 2023 Jumaat lalu amat dihargai.

“Bagi saya, syukur sangat atas keprihatinan kerajaan mengumumkan inisiatif Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah tersebut.

“Begitupun, sejujurnya ia masih belum memadai memandangkan tekanan kos sara hidup pada masa ini amat tinggi,” katanya ketika ditemui di Kampung Matang di sini semalam.

Nurul Hidayu berkata, sebagai perbandingan, pekebun kecil rata-ratanya cuma memperoleh pendapatan purata RM1,000 sebulan sewaktu harga lantai getah mencecah RM3.20/kg pada bulan September tahun lalu.

Jelasnya yang mengusahakan kebun getah sejak 20 tahun lalu, pendapatan bulanan pekebun getah sudah pastinya kurang da­ripada RM1,000 jika harga lantai getah ditetapkan cuma RM2.70/kg.

Seorang lagi pekebun kecil, Ahmad Husin,68, pula merayu kerajaan agar mempertimbangkan harga lantai getah kepada sekurang-kurangnya RM3/kg.

Dia yang menetap di Kampung Gunung berkata, bukan mudah untuk mendapatkan sekilogram getah beku kerana ia mengambil masa berikutan faktor cuaca.

“Cuaca semakin berubah sejak banjir luar biasa melanda daerah ini pada Februari tahun lalu. Hujan kerap turun walaupun di luar musim tengkujuh.

“Faktor cuaca di luar kawalan, kita tidak boleh keluar menoreh kalau hari hujan. Memang sukar terutama bagi pekebun yang mempunyai tanggungjawab besar,” katanya.

Ahmad mengakui dia terpaksa mengambil mengurut untuk menampung pendapatan dari kebun getahnya yang seluas kira-kira 0.1 hektar.

Sehubungan itu, dia merayu kerajaan mempertimbangkan harga lantai getah ditetapkan pada RM3/kg atau melanjutkan tempoh bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil sepertinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI