fbpx

Nilai kerosakan akibat gempa bumi Turkiye RM152 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penyelamat membawa beg berisi mayat mangsa gempa bumi yang ditarik keluar dari sisa runtuhan bangunan di Hatay, 14 Februari lalu. - AFP

WASHINGTON – Gempa bumi dan beberapa gegaran susulan yang melanda Turkiye pada 6 Februari lalu telah menyebabkan kerosakan dan kemusnahan dianggarkan bernilai lebih AS$34 bilion (RM152.46 bilion) di negara berkenaan, kata Bank Dunia kelmarin.

Jumlah itu adalah bersamaan dengan empat peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Turkiye pada 2021, kata institusi yang berpangkalan di Washington itu.

Tambahnya, anggaran tersebut tidak mengambil kira kos pembinaan semula yang berkemungkinan dua kali ganda lebih besar.

Anggaran itu juga tidak melibatkan kerosakan akibat gempa bumi pada hari sama di utara Syria dengan anggaran Bank Dunia mengenai kos di negara itu akan dikeluarkan kemudian.

Bank Dunia memberi amaran bahawa gegaran susulan yang berterusan berkemungkinan meningkatkan jumlah nilai kerosakan akibat bencana itu.

“Bencana itu menjadi peringatan kepada Turkiye mengenai risiko tinggi terhadap gempa bumi dan keperluan negara tersebut untuk meningkatkan daya tahan dalam infrastruktur awam dan swasta,” kata Pengarah Negara Bank Dunia untuk Turkiye, Humberto Lopez.

Bank Dunia dalam masa sama turut menganggarkan bahawa seramai 1.25 juta orang telah kehilangan tempat tinggal buat sementara waktu akibat kerosakan bangunan kediaman.

Menurutnya, kerosakan langsung kepada bangunan kediaman menyumbang sebanyak 53 peratus daripada anggaran kemusnahan tersebut dengan 28 peratus kerosakan melibatkan bangunan bukan kediaman dan selebihnya adalah dalam infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan.

Dalam perkembangan berlainan, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan kelmarin memohon maaf berikutan kelewatan dalam kerja-kerja menyelamat.

Erdogan yang bakal bertanding dalam penggal baharu sebagai Presiden Turkiye selepas dua dekad berkuasa telah menerima kritikan hebat daripada mangsa-mangsa gempa bumi di Adiyaman di tenggara negara tersebut.

“Disebabkan kesan buruk akibat gegaran dan cuaca buruk, kami tidak dapat bekerja seperti yang sepatutnya dilakukan di Adiyaman untuk beberapa hari terawal. Saya memohon maaf atas perkara ini,” kata Erdogan.

Pada 10 Februari lalu, AFP melaporkan kemarahan penduduk tempatan di Adiyaman berhubung kerja-kerja menyelamat yang dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan.

“Saya tidak melihat sesiapa sehingga pukul 2 petang (waktu tempatan) pada hari kedua gempa bumi,” kata seorang penduduk, Mehmet Yildirim kepada AFP.

“Tiada kerajaan, tiada negeri, tiada polis, tiada askar. Malulah! Anda tinggalkan kami sendiri,” tambah Mehmet.

Gempa bumi pada 6 Februari lalu telah meragut nyawa lebih 44,000 orang di Turkiye dan lebih 5,900 orang lagi di negara jiran, Syria. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI