fbpx

MYNIC bantu usahawan agro kembang perniagaan digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zanariah (tiga dari kanan) ketika menghadiri Jelajah Saya Digital di Lembah Pantai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Dimensi perniagaan berasaskan agro semakin progresif, yang mana permintaan terhadap produk agro tanah air semakin mendapat sambutan dari dalam dan luar negara, disokong revolusi teknologi dan digitalisasi.

Kini, lebih ramai usahawan agro tampil berani menceburi bidang pendigitalan bagi meningkatkan hasil serta produktiviti perniagaan agro mereka dan kerajaan, melalui Belanjawan Madani 2023 memperuntukkan dana serta pelbagai inisiatif untuk pemerkasaan pendigitalan perniagaan.

MYNIC dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta agensi-agensi di bawahnya telah melatih hampir 100 usahawan agro, antaranya menerusi Program Realisasi Impian Digital (PRIME) untuk meningkatkan pemahaman serta penyertaan mereka ke saluran digital.

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Berhad, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata, sektor agro merupakan salah satu tunjang kepada negara dan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana. 

“MYNIC telah bekerjasama dengan MAFS serta agensi-agensi di bawahnya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.

“Produk hasil usahawan kami kini semakin dikenali bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara. Antara contoh adalah sambal Cik Midah yang berjaya mendapat pelanggan dari United Kingdom, Singapura dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hasnul, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital, MYNIC yang bertanggungjawab membangun serta mengurus nama domain .MY turut mewujudkan Komuniti .MY sebagai satu platform bagi mengukuhkan lagi hubungan jangka panjang antara peserta latihan.

“Umum perlu tahu bahawa nama domain .MY mempunyai kadar penyalahgunaan yang rendah iaitu hanya dua peratus berbanding ‘generic Top Level Domain’ yang lain. 

“Ini sekaligus menunjukkan bahawa tahap kepercayaan serta jaminan keselamatan terhadap perniagaan yang menggunakan nama domain .MY diakui,” ujarnya.

Sementara itu, Pengasas produk sambal dan pes Cik Midah, Zanariah Abdullah berkata, dia bersyukur kerana terpilih untuk mengikuti program insentif pembangunan laman web daripada MYNIC Berhad yang banyak mengajarnya cara membina laman web serta kaedah mempromosi produk secara digital.

“Membangunkan laman web atau premis digital sendiri merupakan impian saya kerana ia adalah salah satu platform untuk produk kami menembusi pasaran tanpa sempadan.

“Selepas hampir dua tahun mempunyai premis digital sendiri iaitu goldburoqglobal.my, hasil jualan sambal Cik Midah kini mencecah 60 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan dahulu,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI