fbpx

Menteri Pengangkutan mahu setiap stesen KTMB ada kemudahan lif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke (kiri) menyapa beberapa penumpang tren ketika mengadakan lawatan kerja ke Stesen KTM Bukit Mertajam hari ini. Gambar oleh ISWAN SHAFIQ ISA/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Kementerian Pengangkutan komited memastikan setiap stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di seluruh negara dilengkapi dengan kemudahan asas seperti lif.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau menyedari sesetengah stesen KTMB tiada lif yang penting untuk kegunaan golongan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) serta wanita mengandung.

“Saya ada berjumpa seorang wanita mengandung dan disebabkan tidak ada lif, hari-hari dia kena lalu ikut laluan khas. Kebanyakan stesen KTM sekarang ada dua platform dan sepatutnya ada lif di kedua-dua bahagian,” katanya kepada pemberita di Stesen KTMB Bukit Mertajam hari ini.

Anthony Loke memberitahu, langkah untuk menaik taraf stesen-stesen KTMB namun memerlukan perbincangan lanjut dengan dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) kerana ia melibatkan banyak sumber selain peruntukan yang tinggi.

Terdahulu, beliau menggunakan perkhidmatan tren KTMB Komuter Utara dari Butterworth ke Bukit Mertajam bagi mendapatkan maklum balas pengguna selepas kekerapan perjalanan ditambah kepada 36 kali sehari berbanding 26 perjalanan sehari sejak 18 Februari lalu.

Menurutnya, rata-rata pengguna yang ditemui berpuas hati kerana pertambahan perjalanan atau ‘trip’ itu menjimatkan waktu menunggu mereka sehingga satu jam sekali gus memberi lebih masa untuk keluarga.

“Sebenarnya, sebelum pelaksanaan inisiatif ini (pertambahan trip), jumlah penumpang secara purata yang menggunakan perkhidmatan itu adalah sekitar 10,480 orang. Bagaimanapun, ia meningkat kepada 11,224 sejak lebih seminggu yang lalu,” jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Loke memberitahu, pihaknya sedia berbincang dan berunding dengan kerajaan negeri berhubung pelaksanaan sistem pengangkutan awam baharu iaitu transit aliran ringan (LRT) di Pulau Pinang.

“Memang kita tahu, sebagai lokasi tumpuan, George Town berdepan kesesakan jalan raya yang teruk dan kerajaan negeri memang berharap untuk membina sistem LRT. Bagaimanapun, kita masih berunding dan masih tertakluk kepada perbincangan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI