fbpx

Mahkamah: Pereka hiasan dalaman didakwa komen jelik hina YDPA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

AMPANG – Seorang pereka hiasan dalaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menghasut dan membuat komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam laman sosial Instagram (IG) miliknya tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh William Khor Wai Loon, 36, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Wan Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan utama, tertuduh telah didapati mengeluarkan kenyataan dengan menyebut kata-kata menghasut yang mana ia mempunyai kencenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap YDPA di sebuah rumah di Bukit Teratai di sini pukul 3.31 pagi pada 20 November 2022.

Bagi pertuduhan utama itu, lelaki itu didakwa dibawah Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara untuk pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada tempat, masa dan tarikh sama yang didakwa mengikut seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Ali Raman mencadangkan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

“Pendakwaan juga mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan membuat hantaran bersifat jelik di media cetak atau elektronik dan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menjaga ibu bapanya yang uzur.

Selepas mendengar permohonan kedua-belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis sebulan sekali dan tidak membuat sebarang hantaran berhubung kes ini.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 April ini untuk sebutan semula kes.

Kosmo! 23 November tahun lalu, melaporkan perbuatan seorang lelaki menghasut bagi melakukan demontrasi membantah kuasa YDPA dalam pemilihan calon Perdana Menteri membawa padah apabila dia ditahan polis.

Suspek berusia 35 tahun itu ditangkap pukul 10.30 malam di sebuah rumah di Kajang, Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI