KUALA TERENGGANU – Gara-gara menyebar gambar lucah melalui aplikasi Telegram pada dua tahun lalu, seorang penganggur didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri memerintahkan demikian selepas tertuduh, Ahmad Fais Ibrahim, 34, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Beliau juga memerintahkan tertuduh dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, Ahmad Fais didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar lucah secara sedar dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di daerah Kuala Nerus pada pukul 3.54 petang, 21 Februari 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Nur Nazhzilah Mohammad Hashim manakala tertuduh pula diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim. – KOSMO! ONLINE