fbpx

Lans Koperal polis retak kepala ditetak pisau potong daging

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily ketika sidang akhbar di HPP tentang kes tetak melibatkan seorang anggota berpangkat Lans Koperal hari ini. - Foto oleh NOOR HASLIZA NUSI / KOSMO!

GEORGE TOWN – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan retak pada tempurung kepala dan luka bahagian dahi akibat ditetak seorang suspek dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging lewat malam kelmarin.

Kejadian berlaku pada pukul 12.15 malam itu ketika mangsa berusia 29 tahun dikatakan bersama seorang lagi anggota Balai Polis Bandar Baru, Ayer Itam di sini sedang melakukan ronda cegah jenayah di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kejadian berlaku semasa anggota berkenaan bertindak mengekori suspek seorang lelaki yang sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan sejauh kira-kira 150 meter.

Menurutnya, berlaku pergelutan melibatkan suspek warga tempatan berusia 33 tahun ketika pemeriksaan dilakukan berhampiran perumahan teres di situ.

“Suspek telah membuat provokasi ke atas anggota. Secara tiba-tiba suspek telah menyerang dan menetak salah seorang anggota iaitu mangsa dengan sebilah pisau pemotong daging.

“Pisau tersebut bukan milik suspek sebaliknya dia mengambil senjata tajam itu dari atas meja salah sebuah rumah teres di situ. Suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dan meninggalkan motosikalnya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis berjaya menahan suspek di sebuah flat kira-kira pukul 3.40 pagi tadi (semalam) dan merampas pisau yang digunakannya dalam kejadian tersebut.

Turut ditemui di dalam bawah tempat duduk motosikal suspek adalah 30 peket plastik lutsinar mengandungi ketulan dan serbuk warna kuning disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat keseluruhan sebanyak 210 gram.

“Keadaan mangsa kini stabil. Dia bukan sahaja mengalami kecederaan luka akibat torehan pada dahi dan tetak pada kepala, tetapi juga keretakan pada tengkorak.

“Polis akan mendapatkan tempoh tahanan reman ke atas suspek yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” jelasnya suspek juga didapati positif pelbagai jenis dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI