fbpx

Kerajaan negeri bakal terbit 10 buku ilmiah sentuh isu, cabaran di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (lima dari kiri) bergambar dengan para penerima geran penerbitan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - Foto oleh LIYANA RAMLI

IPOH – Kerajaan negeri Perak melalui Institut Darul Ridzuan (IDR) menggerakkan inisiatif penerbitan 10 bahan ilmiah berkaitan cabaran dan isu di negeri ini dengan ia turut akan dijadikan rujukan oleh pemegang taruh bahkan pelaksana bagi merealisasikan pelan Perak Sejahtera 2030.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penerbitan 10 buah buku tersebut akan dibiayai oleh kerajaan negeri menerusi geran bernilai RM230,000 yang diagihkan kepada pemain industri serta pakar-pakar dari universiti-universiti tempatan.

Menurut beliau, penerbitan itu juga bakal meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai senario semasa yang dihadapi negeri Perak.

“Melalui geran penerbitan berkenaan, IDR akan memfokuskan kepada 10 buah buku dengan tema-tema seperti Orang Asli, Orang Kurang Upaya (OKU), Masyarakat Menua, TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) dan Migrasi.

“Tema lain termasuklah Kemiskinan dan Kesihatan, Kesihatan dan Kesejahteraan, Sekuriti Makanan dan Kelestarian Alam, Ekonomi Digital serta Analisis Data Raya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penyampaian Geran Penerbitan Perak Sejahtera 2030 yang turut dihadiri wakil-wakil institusi pengajian tinggi yang terlibat seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada masa sama, Saarani berkata, buku yang julung kali diterbitkan itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri buat julung kalinya melancarkan Bulan Wanita Perak sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun.

“Dengan pelancaran ini, pelbagai program akan dijalankan sepanjang Bulan Wanita Perak yang bermula hari ini sehingga 16 Mac depan.

“Ia adalah tarikh sambutan rasmi Hari Wanita Peringkat Negeri Perak yang bakal menghimpunkan 2,000 wanita di Laman Seri Ridzuan di Ipoh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI