TAMPIN – Berikutan hujan berterusan sejak petang semalam, beberapa kawasan di sekitar Felda Jelai 4, Gemas dekat sini mula dinaiki air bermula kira-kira pukul 10.30 pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Razeaf Zamri berkata, hujan berterusan berlaku sejak pukul 2 petang semalam dan trend air kini dilihat mula menaik di kawasan tersebut.
“Bagaimanapun, ia belum memasuki rumah penduduk. Pihak bomba telah mengadakan pemantauan sejak pukul 10.30 pagi hari ini, setakat ini hanya melibatkan kawasan kawasan Felda Jelai 4,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Mohd. Razeaf lagi, paras air di beberapa batang sungai juga menunjukkan trend meningkat
termasuk Sungai Kelamah, Sungai Jelai 4, Sungai Kampung Kurnia Diraja, Sungai Kampung Londah dan Sungai Kampung Bangkahulu.
“Penduduk dinasihatkan berpindah jika diarahkan oleh pihak berkuasa dan bawa bersama barang peribadi yang penting semasa berpindah dan simpan barangan lain di ditempat yang selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE