PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari tidak menolak kemungkinan untuk melakukan rombakan pemain dalam kesebelasan utama menjelang aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur City (KL City) di tempat lawan malam ini.
Sebagai rekod, skuad Harimau Selatan telah memulakan kempen Liga Super dengan langkah kanan selepas menjulang trofi Piala Sumbangsih dengan menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-0, Jumaat lepas.
Menurut Solari, semua pemain sentiasa bersedia jika khidmat mereka diperlukan tetapi keputusan mengenai kesebelasan utama hanya akan dibuat pada hari perlawanan.
“Secara jujur, pasukan kami tidak memiliki kesebelasan terbaik, namun semua pemain yang berada di dalam skuad JDT adalah barisan pemain utama dan siapa sahaja layak untuk diturunkan.
“Saya telah katakan bahawa persaingan dalam kalangan pemain sangat sihat dan mereka sentiasa berikan yang terbaik khususnya pada sesi latihan. Saya pasti siapa sahaja yang diturunkan akan berikan seratus peratus,” katanya.
Mengulas lanjut, Solari menyeru agar pasukannya berwaspada dengan ancaman yang boleh diberikan skuad Warga Kota kendalian Bojan Hodak itu nanti.
“Mereka memiliki kelebihan bermain di laman sendiri dan saya tidak mahu pemain mengambil mudah. Namun, saya percaya pemain akan pamerkan corak permainan lebih berkualiti berbanding aksi minggu lalu.
“Jika kita dapat memperkemaskan sedikit beberapa kelemahan, pasti kita dapat melakukan yang lebih baik terutama aspek serangan dalam usaha melakukan hantaran serta mencipta peluang gol lebih tepat,” katanya.