fbpx

Hukum penyebar berita palsu, jangan bagi muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
WARTAWAN EKSEKUTIF, EDDY HAMIDI

Isu penyebaran berita palsu bukanlah suatu perkara baharu dan boleh dikatakan hampir setiap rakyat pernah disajikan berita yang tidak dapat disahihkan ke­tulenannya.

Umum mengetahui penyebaran berita palsu mampu meng­akibatkan panik, kebencian dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Namun, entah kenapa perkara itu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching kelmarin dipetik berkata, jumlah kes penyebaran berita palsu di Malaysia menyaksikan peningkatan mendadak sebanyak 35 kes bulan lalu berbanding 48 kes yang direkodkan sepanjang tahun 2022.

Jumlah tersebut disifatkan sebagai tinggi dengan kebarangkalian untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima laporan berita palsu untuk disiasat pada tahun ini boleh mencapai lebih 350 kes.

Peningkatan tersebut patut dibimbangkan dan ditangani lebih-lebih dalam situasi kerajaan yang baharu dibentuk memerlukan perpaduan kukuh dalam kalangan rakyatnya.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, peningkatan kes penyebaran berita palsu sering berlaku setiap kali berlakunya perubahan pada kerajaan.

“Ia sudah pastilah dilakukan oleh mereka yang tidak sukakan kerajaan semasa di mana isu-isu tertentu akan dimanipulasikan sehingga akhirnya menimbulkan persepsi negatif yang akhirnya menjejaskan institusi kerajaan.

“Sebagai contoh, pernah suatu masa dahulu ada stigma bahawa Pakatan Harapan (PH) bersifat liberal mengakibatkan ramai rakyat bimbang budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) akan berleluasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ujar beliau, perkara itu bagaimanapun tidak berlaku selepas PH berjaya memperoleh majoriti dan membentuk kerajaan, malah ia tidak pernah sekalipun dibangkitkan oleh mana-mana pemimpin dalam kerajaan.

Menurut beliau, penyebaran berita palsu bukan sahaja akan menyusahkan kerajaan yang sedang memerintah, sebaliknya impaknya sudah tentu akan dialami oleh kerajaan-kerajaan seterusnya jika tidak ditangani dengan segera.

“Kita hendak menggalakkan rakyat Malaysia membaca, tetapi disajikan pula dengan berita-be­rita yang tajuk serta kandungan yang bukan-bukan, Jadi pihak berkuasa perlu memandang serius isu ini dan ambil tindakan tegas dalam menanganinya.

“Jangan beri muka kepada pelaku, tangkap sahaja dan kenakan hukuman yang berat agar ia menjadi pengajaran kepada yang lain, tidak kiralah siapa juga pelakunya. Tidak mengapa tidak bersetuju dalam politik, namun jadilah matang dalam membangkang,” tegas beliau.

Menerusi laman web SKMM, perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dann boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Tidak dinafikan, rakyat Malaysia cenderung untuk berkongsikan sesuatu yang ‘panas’ atau terkini, namun sering kali terlepas pandang proses menye­mak kesahihan sesuatu berita itu yang mengakibatkan berlaku penyebaran berita tidak benar.

Usah jadikan ia sebagai satu kebiasaan terutamanya di platform-platform media sosial atau aplikasi komunikasi. Biasakan diri untuk menye­mak sesuatu berita yang diterima agar kita tidak menjadi penyebar berita palsu tanpa disedari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI