SEGAMAT – Sambutan hari lahir merupakan detik yang paling dinantikan setiap tahun terutama bagi golongan kanak-kanak.
Bagi Ezayani Insyira Irwan Affandi, 11, yang dilahirkan pada 29 Februari, tarikh lahirnya dianggap begitu istimewa yang mana ia disambut empat tahun sekali pada tahun lompat.
“Bukan semua orang dilahirkan pada tahun lompat, jadi saya beruntung kerana menjadi sebahagian daripada individu bertuah tersebut.
“Setiap tahun, saya memilih tarikh 28 Februari untuk menyambut hari jadi sekiranya bukan tahun lompat.
“Ini kerana tarikh itu adalah hari terakhir dalam bulan Februari. Saya tidak mahu sambut pada 1 Mac sebab bulan berlainan,” katanya ketika ditemui di Kampung Gubah di sini semalam.
Ezayani yang mesra disapa Eya dilahirkan di Hospital Segamat di sini pada 29 Februari 2012 dan kini menetap bersama keluarganya di Kuala Lumpur.
Sementara itu, ibu Ezayani, Noor Syahida Nor Azman, 36 dan bapanya, Irwan Affandi Md Idris, 41, pula menganggap tarikh 29 Februari tersebut unik lebih-lebih lagi kanak-kanak itu merupakan satu-satunya puteri tunggal mereka.
“Jika diikutkan tarikh bersalin pada 21 Mac 2012, tetapi Allah sebaik-baik perancang saya bersalin lebih awal pada 29 Februari.
“Semasa Eya berusia empat tahun, kami mula menerangkan kepadanya mengenai tahun lompat.Alhamdulillah Eya faham dan tiada sebarang masalah timbul setakat ini,” kata Noor Syahida.
Meskipun tarikh 29 Februari muncul empat tahun sekali, Noor Syahida dan Irwan Affandi tidak pernah lupa untuk menyambut hari jadi anak mereka pada 28 Februari setiap tahun kecuali pada tahun lompat.