MANCHESTER – Penyerang pinjaman Manchester United, Wout Weghorst percaya bahawa kejayaan pasukan itu menjulang trofi Piala Liga Inggeris membuatkan mereka bertambah ghairah untuk memburu lebih banyak gelaran.
United berjaya menewaskan Newcastle United 2-0 pada aksi final berkenaan sekali gus menamatkan penantian hampir enam tahun tanpa sebarang gelaran menyaksikan mereka mula membayangkan tiga lagi gelaran untuk melengkapkan pencapaian quadruple musim ini.
Ketika ini, United masih kekal bersaing dalam tiga lagi saingan iaitu Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Europa menyebabkan pencapaian berkenaan masih dianggap relevan buat pasukan itu.
“Kami sudah memenanginya yang pertama dan masih ada tiga lagi yang mampu dicapai. Kami sangat dahagakan kejuaraan, berbaki tiga lagi kami sudah tidak sabar untuk melengkapkannya.
“Kami memenangi trofi pertama ini, sudah tentu ia membuatkan perasaan kami menjadi sangat baik ketika ini. Kami selalu mengingati apa yang diucapkan oleh pengurus bahawa kami berada di sini untuk memenangi gelaran.
“Saya baru menyertai pasukan ini, tetapi kelab ini sudah lama tidak memenangi sebarang gelaran. Ia adalah baik untuk kembali meletakkan kelab ini di kedudukan yang sepatutnya mereka layak untuk berada,” jelasnya.
Piala Liga Inggeris yang dimenangi itu menjadi trofi pertama dalam karier profesional Weghorst sebagai pemain bola sepak yang kini sudah berusia 30 tahun. – AGENSI