fbpx

Dua premis digempur curi air guna paip haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa SPAN memeriksa sambungan paip haram di premis itu di Pulau Indah, Klang.

KLANG – Kegiatan haram dua premis mencuri air melalui sambungan paip secara tidak sah di sekitar Pulau Indah di sini, tumpas selepas digempur Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam.

Serbuan bermula pukul 10.30 pagi itu melibatkan sebuah gudang simpanan kontena, depoh lori, bangunan asrama serta tempat pengumpulan barang lusuh.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd. Fazil Ismail berkata, operasi penguatkuasaan secara berasingan itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

Sambungan paip haram yang dikesan dalam serbuan premis itu di Pulau Indah, Klang.

Katanya, pemeriksaan mendapati dua premis itu melakukan sambungan paip jenis polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) berukuran 25 milimeter (mm).

“Premis pertama iaitu gudang simpanan kontena dikesan menggunakan paip itu tanpa melalui meter sah manakala tempat pengumpulan barang lusuh melakukan sambungan dari paip utama Air Selangor.

“Tindakan pemotongan bekalan diambil serta-merta dan pihak premis telah diberikan notis pemberitahuan kesalahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati dua premis itu disyaki melakukan sambungan itu masing-masing sejak 2021 dan sembilan bulan lalu. – KOSMO! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI