KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah melaksanakan pelbagai insiatif dalam memastikan keterjaminan makanan negara melalui penglibatan koperasi dalam sektor agromakanan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K. Saraswathy berkata, sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 172 koperasi telah terlibat secara khusus dalam sektor agromakanan yang meliputi aktiviti penternakan, perikanan, tanaman dan pembekalan input pertanian.
Jelas beliau, bagi meningkatkan penglibatan dan sumbangan koperasi dalam sektor agromakanan, kementerian telah menyediakan pembiayaan modal pusingan agromakanan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM100 juta.
“Selain itu, KUSKOP turut menyediakan geran bantuan pembangunan sehingga RM300,000 kepada koperasi yang berkelayakan bagi mengukuh dan mengembangkan aktiviti perniagaan koperasi termasuk aktiviti pertanian,”katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Muslimin Yahya (PN-Sungai Besar) yang mahu kerajaan menyatakan keterlibatan serius koperasi berkaitan dengan sektor agromakanan bagi membantu negara menghadapi krisis bekalan makanan pada masa sekarang dan akan datang.
Mengulas lanjut, Saraswathy berkata, KUSKOP juga turut mewujudkan Federasi Koperasi Pertanian dan lndustri Asas Tani Malaysia Berhad yang bertujuan untuk menggembleng sumber modal, kepakaran, kemahiran dan tenaga profesional bagi melaksanakan aktiviti pada skala yang lebih besar serta menguasai aktiviti di sepanjang rantaian bekalan. – KOSMO! ONLINE