KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak memberi impak yang negatif kepada sektor pertanian seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, CPTPP yang diratifikasi Malaysia pada 30 September tahun lalu menjamin hak dan kepentingan petani tempatan.
Jelas beliau, CPTPP juga adalah satu-satunya Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang pernah ditandatangani oleh Malaysia yang mengiktiraf isu keterjaminan makanan.
“Dakwaan bahawa perjanjian ini tidak membenarkan kerajaan melaksanakan larangan eksport makanan asas seperti ayam, adalah tidak benar.
“Selain itu, perjanjian CPTPP tidak akan menjejaskan program bantuan kerajaan, termasuk pemberian subsidi kepada pertanian untuk tujuan eksport,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertantaan Che Alias Hamid (PN-Kemaman) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian berhubung isu CPTPP yang jelas memberi impak kepada sektor pertanian negara.
Tambah Ching Tong, menerusi perjanjian itu, kerajaan juga berhak melaksanakan larangan sementara eksport bagi produk makanan supaya ia mencukupi untuk kegunaan rakyat.
Malah katanya, CPTPP tidak akan mengakibatkan penghapusan menyeluruh duti import bagi barangan pertanian, secara mendadak. – KOSMO! ONLINE