ROM – Penyeludup kumpulan imigran yang menaiki sebuah bot sebelum karam di selatan Itali didakwa mencampak kanak-kanak ke dalam laut untuk meringankan beban muatan, lapor laman berita Wion News semalam.
Dakwaan itu dibuat oleh mangsa yang terselamat dalam tragedi yang berlaku Ahad lalu. Menurut kementerian luar negeri Afghanistan, insiden itu telah meragut nyawa 80 daripada 170 penumpang.
Seramai 14 mangsa dilaporkan kanak-kanak. Bagaimanapun, kerajaan tempatan Itali memaklumkan bahawa jumlah itu telah meningkat kepada 65 orang.
Menurut Polis Itali, penyeludup yang membawa penumpang dari Turkiye ke negara itu mengenakan bayaran sebanyak €8,000 (RM38.016) untuk setiap penumpang.
Polis telah menahan tiga penyeludup iaitu seorang warga Turkiye dan dua warga Pakistan. Seorang lagi suspek warga Turkiye disyaki maut dalam bangkai bot berkenaan.
Mangsa yang terselamat mendakwa bot itu mula karam berhampiran bandar Crotone di Calabria sebelum penyeludup mula mencampak imigran termasuk kanak-kanak ke dalam laut untuk meringankan berat kapal. – Agensi