JOHOR BAHRU – Situasi banjir di negeri ini semakin buruk apabila jumlah mangsa terus mencatatkan peningkatan mendadak hampir mencecah lima angka membabitkan sembilan daerah di negeri ini.
Sehingga pukul 8 malam ini, mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 9,162 mangsa yang ditempatkan di 90 pusat pemindahan sementara (PPS).
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding 7,981 mangsa daripada 2,286 mangsa yang dilaporkan pada 6 petang tadi.
Beliau berkata, setakat ini, hanya daerah Batu Pahat sahaja yang belum terjejas akibat banjir dan tiada merekodkan pembukaan PPS dilaporkan di daerah itu.
“Segamat mendahului senarai jumlah mangsa banjir tertinggi dengan seramai 2,570 daripada 767 keluarga dipindahkan diikuti Johor Bahru (1,888 mangsa daripada 609 keluarga) dan Kota Tinggi (1,654 mangsa daripada 404 keluarga).
“Sementara itu, di Kluang, seramai 1,418 penduduk daripada 409 keluarga diikuti Tangkak (963 penduduk daripada 179 keluarga) dan Kulai (713 penduduk daripada 190 keluarga).
“Jumlah mangsa banjir di Pontian adalah seramai 56 penduduk daripada 17 keluarga diikuti Mersing (44 penduduk daripada 14 keluarga) dan Tangkak (22 penduduk daripada lima keluarga),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menunjukkan seluruh negeri ini di bawah amaran bahaya iaitu hujan sangat lebat berterusan yang dijangka berlaku sehingga esok.
Beliau berkata, beberapa daerah ini berada di paras bahaya iaitu Sungai Segamat, Sungai Labis dan Sungai Lenik, Segamat; Sungai Tangkak, Sungai Kesang dan Sungai Senduk di Tangkak; Sungai Bekok di Batu Pahat dan Sungai Kahang di Kluang.
Turut berada di paras bahaya ialah Sungai Sayong, Sungai Skudai dan Sungai Pontian Besar di Kulai; Sungai Skudai di Johor Bahru dan Sungai Johor di Kota Tinggi.
“Kejadian cerun runtuh menyebabkan Jalan Kampung Sri Timur, LN Mardi dan Jalan Kahang Barat hanya dibuka untuk kenderaan ringan sahaja manakala susur di Jalan Masai Lama, Johor Bahru ditutup akibat kejadian tanah runtuh.
“Sementara itu, Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway), Jalan Batu Pahat-Mersing, Jalan GSA Chamek dan Jalan Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-layang, Kluang; Jalan Senai-Gemas dan Kampung Tenang, Segamat; Jalan Ulu Tebrau-Sungai Tiram, Kulai’ Jalan Jemaluang-Batu Pahat, Mersing dan Jalan Johor Bahru-Seremban, Batu Pahat ditutup untuk semua kenderaan,” katanya.- KOSMO! ONLINE