NEW DELHI – Enam pengunjung cedera apabila sebuah jip safari yang dinaiki mereka terbalik ke dalam parit ketika pemandu cuba mengelak daripada diterkam dua badak sumbu yang sedang berlari ke arah mereka, lapor portal berita MailOnline semalam.
Rakaman video menunjukkan dua haiwan itu muncul dari pokok-pokok di tepi jalan di Taman Negara Jaldapara di Bengal Barat, India ketika pelawat sedang merakam gambar dari bahagian belakang kenderaan tersebut.
Namun, pemandu jip itu segera bertindak dengan berundur dengan laju ketika haiwan tersebut menerkam ke arah mereka.
Pelancong-pelancong yang panik kedengaran menjerit sebelum jip itu terbabas dari bahagian jalan dan terbalik dengan keadaan para penumpang terperangkap di dalamnya.
Kedua-dua badak sumbu yang marah tersebut kemudian dilihat berlari melepasi kenderaan itu.
Enam orang cedera semasa kejadian dan dilaporkan dirawat di pusat kesihatan Madarihat, demikian menurut News 18.
Susulan kejadian itu, pegawai Perkhidmatan Hutan India (IFS) , Akash Deep Badhawan menerusi ciapan di laman Twitter berkata, lebih banyak langkah keselamatan perlu dilaksanakan di taman safari negara itu. – Agensi