ATHENS – Sekurang-kurangnya 32 orang maut manakala 85 lagi cedera selepas dua kereta api bertembung di sebuah lokasi berhampiran bandar Larissa di Greece, lewat malam semalam.
Jurucakap bomba, Vassilis Vathrakogiannis mengesahkan bahawa tiga gerabak telah tergelincir dari landasan selepas sebuah kereta api barang dan sebuah tren yang dinaiki 350 penumpang bertembung di laluan antara Athens dan Thessaloniki.
“Sekurang-kurangnya 32 orang meninggal dunia setakat ini. Seramai 85 orang yang cedera dihantar ke hospital berdekatan,” kata Vathrakogiannis dalam sidang akhbar sambil menambah bahawa usaha menyelamat mangsa yang masih terperangkap sedang dijalankan.
Media Greece menyifatkan insiden nahas itu sebagai kemalangan kereta api paling terburuk di Greece.
Kira-kira 150 anggota bomba dan 40 ambulans dikerah ke lokasi kejadian, demikian menurut perkhidmatan kecemasan Greece.
Kren dan kakitangan mekanikal turut dihantar untuk cuba mengalihkan serpihan dan kenderaan yang terbalik. – AFP