fbpx

300,000 tudung Leeyanarahman habis terjual dalam tempoh sejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maryam Durian Kimchi tak menyangka tudung menampilkan wakilan wajahnya laris terjual.

PETALING JAYA – Gara-gara pempengaruh media sosial, Maryam Durian Kimchi, kira-kira 300,000 helai tudung jenama Leeyanarahman Scarves habis terjual dalam tempoh kurang sejam kelmarin.

Menurut pengasas jenama Leeyanarahman, Nur Liyana Abdul Rahman, meskipun koleksi tudung bertemakan ‘Wanita Dambaan Syurga’ dilancarkan secara rasmi hari ini, namun pihaknya tidak menjangka sambutan yang begitu hebat diterima kelmarin.

“Ini asbab serta rezeki yang baik buat kami dan tentunya untuk Maryam sendiri sebagai mualaf yang sudah mula menutup aurat awal tahun ini. Perkara baik seperti dilakukan Maryam, Insya-Allah moga baik-baik saja laluannya.

“Kita belum lancar, tapi 300,000 helai tudung dicetak habis terjual. Hebat penangan Maryam. Maryam sebenarnya mewakili koleksi tudung kami untuk edisi ketiga.

“Edisi pertama dan kedua dulu masing-masing menampilkan Ummi Nazeera dan Hannah Delisha,” katanya yang memaklumkan tudung itu dijual pada harga RM29 sehelai.

Mengulas lanjut, Nur Liyana berkata, tema yang digunakan kali ini juga ibarat seperti kisah perjalanan hidup baharu Maryam terutamanya keinginan hati kecil berhijrah menjadi wanita mualaf yang lebih baik.

“Koleksi Wanita Dambaan Syurga bukan keluaran raya Aidilfitri sebenarnya, tetapi umum tahu, setiap dua bulan kita akan keluarkan koleksi baharu.

“Rekod kejayaan ini juga terus membuka ruang dan peluang kepada lebih 10,000 ejen dan stokis kami di seluruh Malaysia menjana pendapatan.

“Nak pula dengan nak sambut Ramadan dan Aidilfitri, kami mahu terus berkongsi rezeki dengan ramai orang terutama ejen dan stokis,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sasaran jualan tahunan tudung koleksinya adalah sekitar RM20 juta dan bagi setiap edisi sasarannya adalah sekitar RM4 juta.

“Dalam setahun, kami sasar ada sekitar lapan keluaran koleksi tudung. Jualan tudung kami mula sejak Oktober tahun lalu dan sehingga sekarang sudah lebih 700,000 helai,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI