PETALING JAYA – Sebanyak 14 sungai melibatkan Selangor, Johor dan Pahang dilaporkan meningkat melepasi paras bahaya ekoran hujan berterusan sejak malam tadi.
Menerusi laman web info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat pukul 9 pagi hari ini, paras kesemua sungai tersebut masih menunjukkan trend menaik.
Di Selangor, Sungai Sompo di Pekan Beranang mencatatkan bacaan 33.14 meter (m) manakala di Pahang, Sungai Pukin di Rompin merekodkan bacaan 46.59m melepasi paras bahaya.
Selain itu, bagi Johor, 12 sungai turut dilaporkan melebihi paras bahaya membabitkan Sungai Segamat dengan bacaan 38.32m, Sungai Labis (41.27m), Sungai Lenik (7.67m), Sungai Kahang (16.71m), Sungai Siam (21.49m), Sungai Siku (18.81m), Sungai Skudai (19.01m), Sungai Ulu Pontian Besar (12.69m), Sungai Pulai (2.92m), Sungai Johor (2.86m), Parit Keliling (1.09m) dan Sungai Skudai Kampun Laut iatu 5.79m.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan meliputi Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sehingga 2 Mac ini. – KOSMO! ONLINE